Wednesday, April 14, 2010

Kenyataan Datuk Samad Said

Datuk Samad Said membuat satu kenyataan dalam satu majlis supaya jangan menggunakan gelaran Sasterawan Negara yang dianugerahkan kepada beliau. Tujuan beliau berkata begitu mungkin berkias atau mengajar mereka yang berkepentingan dan diamanahkan untuk melaksanakan tugasnya, tetapi gagal atau menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya hingga membawa malapetaka kepada bangsa dan tamadun yang sedang kita bina.
Dengan kata lain, kerana berfikiran kelas tiga maka mustahil dapat kita bina tamadun negara ini dalam jangka masa yang singkat. Bayangkanlah baru 50 tahun merdeka, kita sekarang diserang pelbagai krisis moral dan krisis keyakinan. Apakah dapat kita capai sasaran 2020? Dapatkah kita bina tamadun melayu yang panjang sama usianya dengan tamadun Mesir, Yunani atau China? Sedangkan setelah 50 tahun merdeka, tanda-tanda keruntuhan moral dan minda Melayu semakin ketara dan amat dasyat.
Kalau begitu tidak usahlah kita mimpikan macam-macam slogan : Gemilang, terbilang dan cemerlang. Begitu juga dengan Islam Hadhari hanya pada kulitnya sahaja. Kita belanja berjuta-juta ringgit menganjurkan kempen Budi Bahasa, tetapi apa untung yang kita nampak sekarang ini? Celakanya orang Melayu sekarang ini, kerana terlalu banyak membuka pintu masuknya kepada pengaruh asing. Ini juga barangkali kerana sikap tidak apa atau kerana mudahnya orang kita bertolak dan ansur menyebabkan peluang kapitalis pascamoden senang masuk sampai ke dalam rumah kita dan terus menjajah kita anak beranak.
Bayangkanlah kerana media massa yang berlumba-lumba mengasak kita untuk menyuruh kita menjadi kaki hiburan murahan atau pencandu budaya pop ini, soal maruah dan budaya bangsa langsung diabaikan oleh mereka yang terlibat dalam industri hiburan ini. Misalnya dalam kuiz menduga akal, soalan bonaza dan sebagainya yang ditawarkan sama ada yang menagih dadah atau suka bertelanjang.
Malangnya yang membuat soalan-soalan itu pun DJ (entah apa sebenarnya maksud DJ, bagi saya bila diterjemah ke dalam budaya kita DJ tetap membawa konotasi yang remeh dan negatif) Sepatutnya juruhebah, penyampai berita atau juruacara atau pengacara memperlihatkan jati diri bangsa berbudaya tinggi dengan bertanya soalan-soalan tokoh ilmuwan, sarjana pemimpin yang berjasa, ulama, sasterawan dan seniman negara yang cemerlang yang banyak jasanya berbanding soalan mengenai budak-budak rock atau pelakon-pelakon drama swasta yang bercakap melayu pun tidak betul.
Yang anehnya, mereka yang dibayar gaji sebagai juruhebah itu juga ada yang mengejar glamour. Malahan ada pula yang meletakkan status kejuruhebahannya itu setaraf dengan selebriti atau artis pop Hollywood dengan karpet merah dan harus dilayan macam superstar. Hal-hal begini kita tidak pernah dengar ia ditegur oleh menteri-menteri yang terlibat dalam bidang penyiaran dan media. Media massa pula mengambil kesempatan ini sehingga mengabaikan kepentingan golongan ilmuwan, budayawan dan intelektual bangsa sendiri. Jadi kita berharap, dengan sikap yang diambil oleh A. Samad Said yang tergamak meletakkan dirinya sebagai “mantan Sasterawan Negara” itu memberi satu tanda penting kepada semua pihak. Akan segeralah tindakan proaktif oleh mereka yang berkepentingan dan bertanggungjawab.
Saya kira masalah menerbitkan buku teks sastera sekolah menengah ini pun ada kaitannya dengan buku-buku teks sekolah rendah juga, yang dibimbangi akan keluar nanti buku bacaan berunsur sastera, tetapi diplagiatkan atau diubahsuai pihak tertentu atas kepentingan kebendaan. Saya harap dengan adanya pernyataan terbuka ini, pihak BPR harus membuka failnya, supaya dengan cara itu, sekurang-kurangnya kita dapat menyelamatkan masa depan generasi muda kita menjadi mangsa sistem pendidikan yang tempang dan tidak bijaksana.
Saya masih ingat ketika darjah enam tahun 1960an dulu, ada buku bacaan kami yang menggunakan teks puisi-puisi bertemakan nasionalisme karya penyair Indonesia seperti Prof. Muhammad Yamin, Rustam Effendi dan Sultan Takdir Alisjahbana dalam ejaan jawi. Apakah pelajar melayu zaman baru merdeka seperti saya ini lebih hebat daripada pelajar sekolah menengah masa kini? Malah laporan UPSR dan PMR, kononnya keputusan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pelajar kita, melebihi tahap sasarannya, maka itu timbul pula alasan karyasastera tinggi berat dan sukar difahami pelajar?
Kalau itu benar, ertinya kita bukan melangkah ke hadapan. Para pemikir dan perancang pendidikan negara sekarang ini harus menerima dosanya, sekiranya anak bangsa kita sepuluh atau lima belas tahun lagi semuanya mempunyai minda pops, jadi pencandu budaya murahan, hilang jati diri, sirna rasa nasionalisme dan patriotismenya dan jahil tentang sejarah negara bangsanya sendiri disebabkan mereka yang menjadi perancang pendidikan itu berfikiran kelas tiga seperti ini. Saya juga menyeru para pemimpin persatuan penulis seluruh negara, agar bangun bertindak melakukan sesuatu bukan untuk kepentingan peribadi. Tetapi berjuang atas nama persatuan yang mereka pimpin, demi menjaga maruah kaum penulis, bangsa dan negara yang meraka cintai.
Sehingga kini kita tidak dengar lagi sebarang reaksi baik drp Kementerian Pelajaran mahupun PPK sendiri. Begitu juga isu ini akhirnya akan mengalir atau menjangkiti pula ke Kementerian Pengajian Tinggi apabila di IPT pula nanti akan ada cadangan daripada ilmuan dan perancang bangsa Melayu sendiri, suapaya jangan diajar sastera (kononnya sastera tidak menjanjikan masa depan bangsa melayu) Kita hairan dengan sikap diamnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang banyak menerbitkan buku sastera tinggi dan karya Sasterwan Negara. Kenapa terus membisu? Yang paling ironinya tidak ada pemimpin politik Melayu seperti UMNO, Pas atau Keadilan yang tampil

Oleh A. Rahim Abdullah
Mingguan Malaysia 17 Feb 08
There was an error in this gadget